“APABILA terbaca kisah seorang anak angkat dijadikan kuli yang disiarkan di dalam ruangan ini beberapa minggu lalu, membuatkan saya teringat tentang cerita emak saya. Oleh sebab nasibnya lebih kurang sama, duduk dengan saudara, hidupnya tak ubah seperti kuli. Tetapi sekarang emak bersyukur kerana terlepas daripada ikatan dan berjaya membentuk hidup sendiri.
“Kata emak dulu hidupnya di kampung memang susah, adik-beradik ramai, ayahnya iaitu datuk saya cuma bekerja menoreh getah, dan petang bercucuk tanam jika tidak ada orang panggil bantu buat rumah, ataupun ambil upah menanam benih padi. Jadi bila ada orang nak ambil emak saya untuk dibawa ke bandar bantu mereka kerja di rumah, sebab mereka suami isteri bekerja, ayah dan emak izinkan. Itu cerita emak saya.
“Harapan datuk dan nenek supaya emak saya dapat hidup senang selain dapat belajar masak dan menjahit seperti yang dijanjikan. Sebab takkan mereka nak aniaya emak saya kerana mereka bersaudara. Soal nak bagi upah itu cerita kemudian. Tapi biasanya mereka akan beri nenek duit sebagai upah ambil emak bekerja. Jadi dengan duit itu dapatlah bantu mereka.’’ Itu cerita Norsalamiah dalam e-melnya.
“Ketika itu emak masih muda baru 14 tahun. Tetapi tugasnya berat, selain cuci pakaian, emak kena menjaga empat orang anak saudaranya yang tua sebaya emak, yang kedua, 12 tahun dan yang kecil, sembilan tahun, sementara bongsu baru dua tahun.
“Selain mengurus makan pakai dan mandi mereka, emak juga disuruh jaga kebersihan rumah, menyapu, siram pokok dan menyapu halaman keliling rumah.
“Kata emak, saudaranya itu suami isteri adalah kakitangan kerajaan dan duduk di rumah kerajaan yang besar. Jadi sepeninggalannya, emaklah uruskan rumah. Tapi bab memasak emak tak pandai, kecuali masak nasi, goreng ikan atau makanan segera kesukaan anak-anak mereka.
“Walaupun bersaudara, tetapi sepanjang tinggal di rumah besar selama 15 tahun lebih, mak tak dianggap seperti saudara, tidur di bilik jauh di belakang, makan sendirian tak boleh campur dengan mereka dan selepas semua orang selesai makan. Kecuali siang hari. Itupun setelah anak-anaknya selesai makan. Pendek kata emak macam pembantu rumah, cuma ketika itu pembantu rumah Indonesia tak ada. Upah yang diberi pada emak RM40 sebulan. Itu tidak diberi pada emak, sebaliknya diberi kepada nenek bila emak dibenarkan balik kampung.
“Kata emak, hubungan mereka sama seperti majikan dengan pekerja. Bukan itu sahaja, kadang kala emak sering ditengking dan dijerkah jika buat silap atau apabila anak-anak tak jumpa baju atau stoking sekolah yang hendak di pakai untuk ke sekolah. Waktu itulah emak akan diperbodohkan kerana tak tahu buat kerja. Jadi untuk mengelakkan kena marah tiap-tiap malam, emak siapkan pakaian, stoking, seluar sekolah, susun buku, bag sekolah dan sebagainya untuk memudahkan mereka pakai. Kadang-kadang pakaian tertukar pun kena marah.
“Masa mula-mula bekerja, emak memang selalu kena marah, emak dikatakan tak tahu seterika pakaian, cuci pakaian tak bersih, tak tahu lipat pakaian, tak bersih cuci pinggan mangkuk, tak pandai masak apa lagi tak tahu guna dapur gas. Kata emak dia memang tak tahu nak guna semua benda itu, sebab di rumah tak ada seterika, dapur gas atau periuk nasi elektrik. Mak tahu guna dapur kayu, pakaian tak pernah diseterika, lepas cuci, jemur, dan terus pakai.
“Kata emak pada mulanya memang dia rasa nak lari balik, tetapi jauh di utara, nak naik bas pun tak tahu, duit memang tak ada kat tangan. Memang mati akal. Akhirnya emak mendiamkan diri, bersabar walaupun sering kena marah. Lebih menyedihkan bukan majikan suami isteri saja yang marah, malah anak-anak mereka pun marah, suka menengking, memukul dan menampar emak. Tapi emak terpaksa mendiamkan diri. Takut.
“Sebab emak sedar dirinya miskin, dan tak berduit. Jadi hidup orang miskin memang sentiasa kena marah dan dikatakan bodoh. Emak diberikan pakaian lebihan anak-anak mereka, setahun sekali dapatlah dua helai baju kurung baru. Beraya di kampung biasanya cuma tiga hari sudah dibawa pulang ke KL. Alasan cuti habis. Sedangkan di KL emak terpaksa melayan ramai tetamu, saudara mara atau rakan taulan mereka yang datang berhari raya di rumah.
Lepas tangan
“Bukan itu sahaja, emak juga terpaksa melayan tetamu kawan-kawan anak-anak majikannya yang datang ke rumah, tak kira hari raya ataupun hujung minggu. Walaupun teruk bekerja tetapi emak masih boleh tahan lagi hinggalah anak sulungnya hendak berkahwin. Tetapi selepas anaknya dapat anak, emak juga disuruh menjaga cucunya. Kerana anaknya bekerja. Mereka tidak tinggal bersama. Jadi emaklah jadi ibu kepada bayi tersebut, ibunya datang menjenguk anaknya seminggu sekali. Alasannya mereka suami isteri sibuk bekerja.
“Boleh dikatakan dari kecil anak-anak majikannya dijaga dan diuruskan tentang kehidupan mereka ketika bersekolah, sampai dah kahwin dan beranak pun tugas itu diserahkan kepada emak untuk diuruskan. Tapi emak sabar, sebab emak tak ada kawan boleh bercakap, balik kampung pun tak ada masa nak jumpa kawan atau saudara mara lain untuk berbual. Jadi hidup emak memang macam katak di bawah tempurung.
“Bila emak semakin besar dan jadi anak dara, kata nenek memang ada dua atau tiga kali orang datang bertanya meminang emak. Tetapi emak tak diizinkan balik kampung, jadi pastilah emak tak ada jodoh. Nenek tak berani bersuara supaya hantar emak pulang, maklum ketika itu nenek memang hidup susah. Jadi tak berani nak bersuara. Alasan majikan tak mahu hantar nenek balik kerana tak izinkan emak kahwin dengan orang kampung, nanti hidup susah.
“Kata majikan emak, tunggu nanti ada satu ketika ada orang yang lebih baik masuk meminang barulah boleh kahwin. Demi masa depan. Itu alasan mereka. Oleh kerana emak daripada kecil sentiasa mendengar cakap majikan, maka emak tak berani membantah.
“Akhirnya emak terus jaga cucu majikannya daripada seorang bertambah tiga. Bertambah berat kerja emak. Itu belum masuk anak kedua majikannya yang sudah kahwin. Nasib baik mereka suami isteri bekerja jauh di selatan, jika tidak pasti emak juga terpaksa jaga anak-anak mereka. Nak dijadikan cerita, satu hari emak dapat panggilan telefon, datuk sakit dan emak perlu pulang kampung segera. Majikan emak tak benarkan balik sebab tak ada orang nak jaga cucunya. Emak merayu dan menangis barulah dibenarkan pulang, tetapi cuti tiga hari sahaja.
“Ketika dihantar ke Puduraya untuk naik bas, emak berkenalan dengan seorang wanita tua yang kebetulan sedang tunggu anaknya datang untuk balik kampung bersama. Wanita itu dihantar ke Puduraya oleh anaknya yang ke dua, sementara yang akan hantarnya pulang ke kampung anaknya yang ke empat. Di situlah mereka berkenalan. Rupanya mereka senegeri tetapi berbeza daerah. Nak jadikan cerita lelaki itulah jadi ayah saya kemudiannya.
“Janji tiga hari tapi jadi satu minggu, majikan datang nak bawa pulang, tetapi keadaan datuk ketika itu memang nazak, dan dua hari kemudian meninggal dunia. Bila emak dibawa balik, emak bukan sahaja disindir malah di marah kerana lambat balik. Ini yang membuatkan emak terlalu sedih, tak sempat tunggu seminggu untuk bersama adik-beradik.
“Pada kesempatan berkumpul bersama adik-beradik itulah emak dapat mencurahkan isi hatinya pada nenek dan adik-beradik lain. Lantas mereka cadangkan supaya emak tak perlu balik KL lagi, duduk sahaja di kampung, kalau ada jodoh kahwin. Memang benar, dua orang adik emak sudah berkahwin dan jodoh mereka orang kampung. Ada yang dah masuk Felda. Memang hidup mereka susah, itu yang buat emak dengar cakap majikannya.
“Tapi nenek bercerita emak dulu dijanjikan untuk belajar menjahit dan memasak bila duduk KL. Tetapi janji itu tidak ditepati. Rasa kekesalan sedikit tertanam di hati emak. Lebih seminggu di kampung membuka minda emak berfikir untuk mencari kehidupannya sendiri. Di KL emak minta dia dihantar kelas menjahit kerana dia memang minat menjahit. Tiga bulan berlalu, janji masih tak ditepati. Kerana itu akhirnya emak buat keputusan balik kampung. Keputusan emak membuatkan majikanya marah. Mereka langsung tidak berterima kasih atas pengorbanan emak mengabdikan diri selama lebih 15 tahun.
“Dipendekkan cerita emak buat keputusan tepat. Di kampung ada kelas menjahit percuma dibuka oleh Kemas. Kerana minat, emak dapat menamatkan pelajarannya dan boleh mengambil upah menjahit pakaian. Ketika itulah tanpa disangka keluarga yang emak kenal di dalam bas tempoh hari datang meminang emak.
“Kata emak perkahwinannya cukup sederhana. Tetapi mereka bahagia hingga melahirkan tiga orang anak termasuk saya. Kerana hendak senang hidup emak terus ambil upah menjahit pakaian. Kini kami tidak kaya, tetapi senang, anak-anak emak ada ijazah dan diploma. Kami dididik berjimat cermat, tahu hargai kehidupan, jangan hina orang miskin, amalkan kehidupan sederhana. Kerana bila manusia tahu hargai kehidupan hidupnya akan selamat.”
Itu cerita Norsalimah tentang hidup emaknya terseksa kerana keluarga miskin. Nasihat emaknya miskin tak selamanya miskin jika berusaha, dan kaya tak kekal selamanya, ingatlah balasan Allah.
No comments:
Post a Comment