Seni batik Brebes Jawa Tengah
BATIK Brebes atau batik Salem muncul pada abad ke-19 atau lebih tepat pada tahun 1817 hasil kreativiti seorang anak perempuan pegawai tinggi pemerintah dari Pekalongan yang berhijrah ke Kampung Bentar, Salem, Brebes, Jawa Tengah, Indonesia.
Mayoriti tukang canting batik setempat percaya bahawa anak perempuan pegawai tinggi pemerintah itu telah memperkenalkan tradisi mencanting batik setelah dia berkahwin dengan lelaki dari kampung tersebut.
Disebabkan itu, batik Brebes mempunyai corak yang hampir sama dengan corak batik Pekalongan seperti corak kopi pecah, bunga manggar, merak, geringsing dan ukel kangkung.
Seni mencanting batik yang dibawa oleh gadis itu sangat popular dan berkembang luas di daerah-daerah lain.
Namun dalam satu versi yang berbeda, para pedagang dikatakan membawa batik dari Pekalongan ke daerah Salem pada abad ke-19 sebelum memutuskan untuk menetap di sana.
Masyarakat juga percaya bahawa Pemerintah Daerah ketika itu, Raden Arya Tjandranegara telah membangunkan kemahiran menghasilkan batik kepada penduduk setempat pada November 1882.
Seorang ibu rumah tangga, Tuti Wiriadidjaja, mempunyai banyak koleksi batik yang tersimpan kemas dalam lemarinya.
Dua helai daripada koleksinya ialah batik Brebes yang dicanting dengan menggunakan lilin tahan lama yang dibelinya beberapa tahun lalu.
“Saya membeli batik ini daripada sebuah butik di Pekalongan yang mempunyai sudut khas menjual batik dari Brebes dan daerah-daerah lain di Jawa Tengah.
“Mereka lebih mengenalinya dengan nama batik Salem berbanding batik Brebes. Ini kerana, reka bentuk batik ini mengikut corak geringsing, satu corak lama Jawa di atas cetakan berwarna hitam dan putih yang lain daripada batik biasa,” katanya.
Warna terang
Cetakan berwarna hitam dan putih merupakan warna tema tradisi bagi batik Jogja.
Para tukang canting batik biasanya lebih cenderung menggunakan warna yang terang dan bertenaga dalam kerja-kerja mereka.
“Pada awalnya, saya menjangkakan warna kuning, biru dan merah jambu untuk batik pantai namun, selepas berbicara dengan tukang canting, dia menjelaskan warna tersebut merupakan reka bentuk konservatif batik Salem,” katanya.
Bagaimanapun, Tuti enggan dikenali sebagai pengumpul batik walaupun dia telah menyimpan lebih daripada 150 batik dalam bentuk kain panjang di dalam lemarinya.
Secara tradisinya, batik dijual dengan ukuran 2.25 meter panjang yang digunakan untuk kain panjang yang merupakan sebahagian daripada pakaian tradisional Indonesia.
Batik merupakan salah satu bahagian daripada baju kebaya iaitu gaun tradisional untuk wanita Indonesia.
Sebagai seorang isteri orang Jawa, Tuti perlu memakai kebaya untuk pelbagai acara rasmi kerana sering mengiringi suaminya yang merupakan seorang pensiunan pegawai pemerintah.
“Pengumpul batik biasanya mengetahui cerita tentang setiap reka bentuk dan coraknya. Berbeda dengan saya, tujuan saya membeli batik adalah disebabkan ia kelihatan sangat cantik. Bukan kerana sejarah, harga atau keunikannya,” katanya sambil tersenyum.
Tuti mendapat batik pertama kira-kira 40 tahun lalu daripada ibu mertuanya. Ia merupakan hadiah perkahwinan iaitu satu set batik lama Jawa.
Sementara itu, seorang penjual batik dalam talian, C. Kusumanintya berkata, tujuannya menjual batik adalah semata-mata untuk membantu memelihara batik-batik lama tersebut.
“Sangat bagus sekiranya dapat mempunyai semua jenis batik Indonesia dengan pelbagai corak dan reka bentuk. Namun, terdapat beribu-ribu jenis batik.
“Jadi, biasanya saya mengumpul batik-batik bercorak dan reka bentuk lama yang menarik perhatian saya,” katanya.
Corak batik
Kusumanintya yang mempunyai 50 jenis kain batik mengakui tidak pernah mendengar nama batik Brebes sebelum ini.
“Batik sangat terkenal dan hampir setiap daerah di negara ini mempunyai batik mereka sendiri.
“Saya mempunyai batik dari Papua dan Flores walaupun ia merupakan batik corak baharu. Jadi, saya tidak terkejut jika Brebes juga mempunyai batik sendiri. Kebanyakan daerah di Jawa masih mengikuti tradisi lama dalam menghasilkan batik,” katanya.
Secara umumnya terdapat dua jenis corak batik iaitu batik pedalaman dan batik pantai. Bagaimanapun, reka bentuk asal batik Brebes adalah bercorak batik pedalaman walaupun Brebes merupakan sebuah kawasan berhampiran dengan pantai.
Fakta inilah yang mendorong andaian bahawa kaum kerabat dari pemerintah Jogja dan Solo mungkin telah membawa kemahiran mencanting batik ke daerah Brebes dan juga tempat-tempat lain di Jawa Tengah seperti Banyumas dan Tegal. Masing-masing turut mempunyai sejarah penghasilan batik tradisi yang panjang.
Reka bentuk dan corak batik Brebes dipenuhi dengan warna-warna bumi seperti hitam, putih, sogan (coklat kekuningan) sama seperti batik Yogyakarta.
Bagaimanapun reka bentuk yang terdahulu itu kini dipengaruhi batik Pekalongan terutamanya pada bahagian corak buketan (bunga-bunga).
Apabila batik telah menjadi fesyen dan trend pada abad ke-21, ia mula dijadikan corak pada baju-T, pakaian, kasut dan tas.
Batik Brebes turut mengikut arus tersebut dengan membangunkan beberapa reka bentuk baharu yang diilhamkan daripada budaya hidup rakyat setempat seperti corak telur masin dan bawang merah.
Pengiktirafan
Walaupun batik turut terdapat di negara-negara lain, namun berabad-abad lamanya Indonesia terutamanya di Jawa terkenal dengan seni pembuatan batik.
Berkurun-kurun lamanya, batik tetap tidak dapat dipisahkan daripada budaya Indonesia.
Kini, kaum lelaki turut memakai batik untuk menghadiri majlis rasmi termasuklah corak batik pada sut dan tali leher.
Presiden Indonesia, Joko Widodo yang membesar di Solo mengakui, beliau memiliki lebih 200 baju batik manakala isterinya, Iriana pula aktif memperkenalkan batik setiap kali berpeluang berbuat demikian.
Selaras dengan saranan wanita pertama Indonesia tersebut dalam mempromosikan batik, Pemerintah Brebes berjaya menganjurkan Pameran Batik Brebes di Singapura pada tahun lalu dalam usaha meningkatkan popularitas batik setempat.
Batik Indonesia juga mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Perserikatan Bangsa-Bangsa yang telah mengumumkan batik Indonesia sebagai Warisan Budaya Manusia Tidak Ternilai 2009.
sumber
1 comment:
Terima kasih Bu Dwi
Post a Comment